KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan hingga 4.15 petang susulan beberapa insiden kemalangan yang berlaku akibat peningkatan jumlah kenderaan sempena Aidilfitri.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata setakat 4.15 petang, trafik semakin padat di sekitar Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi laluan E1 dan E2 di kedua-dua arah serta di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
"Di Lebuhraya PLUS E1 arah utara, trafik perlahan dari Bukit Lanjan ke Hospital Sungai Buloh, Rawang Selatan ke Rawang, dan dari Sungkai ke Sungai Bidor ekoran kemalangan di Kilometer (KM) 341.6 yang menyebabkan lorong kecemasan terhalang.
"Bagi arah selatan pula, trafik turut perlahan dari Permatang Pauh ke Perai," katanya.
Sementara itu, di Lebuhraya PLUS E2 arah utara, trafik bergerak perlahan dari Pasir Gudang ke Kempas dan dari Pulai ke Sedenak akibat kemalangan di KM40.9 yang menghalang lorong kanan dan lorong kecemasan, mengakibatkan kesesakan sepanjang 16 km.
Jurucakap itu turut memaklumkan berlaku kesesakan dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur.
"Di Lebuhraya KLK, trafik perlahan arah timur dari Plaza Tol Gombak ke Lentang namun aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 masih lancar," katanya.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan akaun X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta akaun X @llmtrafik.
Sementara itu di Kota Bharu, aliran trafik di beberapa jalan utama Persekutuan melibatkan jajahan Gua Musang dilaporkan perlahan namun lancar hingga 7 petang ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata berlaku sedikit kesesakan seperti pagi tadi di sempadan masuk Gua Musang-Kuala Lipis namun jaraknya berkurangan kepada dua kilometer sahaja.
"Pada waktu ini berlaku hujan lebat dan pemantauan lebih peka dijalankan bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini. Kami melakukan pemantauan 24 jam dan terus bertindak apabila perlu bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata polis juga turut memberi tumpuan terhadap kawasan yang kerap berlaku kemalangan dengan sentiasa ada anggota bertugas di situ.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial