KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Kira-kira dua juta kenderaan luar dijangka memasuki Johor termasuk melalui Tambak Johor dan Link Kedua manakala tiga juta kenderaan dijangka masuk ke Perak sempena cuti Aidilfitri ini.
Di JOHOR, Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata jangkaan bilangan kenderaan yang dijangka memasuki negeri itu merupakan peningkatan tiga kali ganda berbanding hari-hari biasa.
"Tambak Johor dan Link Kedua akan ada pertambahan kenderaan keluar masuk kerana cuti hujung minggu yang panjang.
"Selain itu, 47 lokasi hotspot yang kerap berlaku kesesakan dan 36 lokasi blackspot iaitu kerap berlaku kemalangan telah dikenal pasti dan akan dijadikan fokus utama sepanjang Op Selamat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor sempena Op Selamat Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Perling (arah Johor Bahru) di sini hari ini.
Menurut Kumar Op Selamat Johor kali ini melibatkan 1,998 orang terdiri daripada 251 pegawai dan 1,747 anggota manakala pasukan Emergency Response Team (ERT) akan berpusat di Pejabat Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) Yong Peng dan Sedenak.
Di PERAK, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata pihaknya menjangka peningkatan 20 hingga 30 peratus lalu lintas memasuki negeri itu sempena Aidilfitri berbanding hari-hari biasa dengan anggaran kenderaan mencecah tiga juta.
"Sebanyak 37 pegawai kanan dan 236 pegawai rendah polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik terlibat dengan penugasan sepanjang Op Selamat 24 berlangsung," katanya pada sidang media selepas Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat Kontinjen Perak 2025 di Terminal Meru Raya di sini hari ini.
Noor Hisam juga berkata pihaknya mengenal pasti 21 lokasi blackspot semasa sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Beliau berkata lokasi berkenaan adalah KM31 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran lampu isyarat Bandar Seri Iskandar, KM4 Jalan Sitiawan-Lumut berhampiran lampu isyarat Lotus, KM12 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang serta KM80 Jalan Ipoh - Butterworth berhampiran lampu isyarat Simpang.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan