KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Tiada sebarang hukuman dikenakan ke atas murid yang tidak memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut senarai soalan lazim (FAQ) yang diterbitkan KPM, inisiatif itu yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 21 April depan bertujuan memupuk semangat patriotisme serta cintakan negara.
KPM menjelaskan langkah itu juga bagi meningkatkan rasa bangga dan hormat kepada negara selain meningkatkan disiplin murid.
“Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 dikeluarkan bertujuan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif ini adalah mengikut prosedur dan garis panduan,” menurut FAQ itu.
Menurut dokumen itu, KPM juga akan membekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma bagi semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026 dan akan diedarkan terus kepada murid di sekolah secara berperingkat.
FAQ itu menyebut lencana Jalur Gemilang yang akan dibekalkan kepada murid berbentuk pin lencana dan mudah disematkan di atas semua jenis seragam murid.
“Maklumat lanjut spesikasi lencana boleh didapati dalam Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah KPM yang disertakan bersama-sama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025,” menurut FAQ itu.
Semalam, KPM mengumumkan pelaksanaan inisiatif itu juga melibatkan sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial