AM > BERITA

Berhati-hati Memandu Pulang Ke Kampung Halaman - Sultan Pahang

28/03/2025 10:00 PM

KUANTAN, 28 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Al-Sultan Abdullah turut menyarankan pengguna jalan raya supaya memeriksa keadaan kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan selain memandu dengan berhemah dan bersabar ketika berhadapan dengan kesesakan lalu lintas.

“Jika berasa letih semasa memandu berhenti rehat dan minum kopi sebagainya, jangan tergopoh-gapah. Saya doakan mereka selamat sampai dan berhati-hati ketika di jalan raya," titah baginda. 

Baginda bertitah demikian kepada pemberita ketika berkenan mencemar duli berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) sini hari ini bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda baginda berdua. 

Baginda turut menzahirkan perasaan dukacita dengan kemalangan maut yang berlaku terutama menjelang Aidilfitri dan berharap selepas projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) siap sepenuhnya kelak, risiko kemalangan dan kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan. 

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah mengakui gemar berbuka puasa di padang bersama rakyat selain dapat menyantuni orang ramai. 

"Kalau boleh saya nak datang sini kerap, tetapi tak kesampaian banyak melawat daerah-daerah lain dan Alhamdulillah hari ini dapat sampai...saya lihat begitu ramai pengunjung termasuk dari luar Pahang," titah baginda. 

Terdahulu sebelum berbuka, Sultan Pahang berkenan menyantuni penjual dan pengunjung bazar Ramadan Mahkota Square yang terletak bersebelahan padang itu yang ingin bergambar bersama, selain baginda berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan