AM > BERITA

Perantau Indonesia Pulang Beraya Guna Feri

29/03/2025 12:14 PM

Oleh Shanika Abdullatib

MELAKA, 29 Mac (Bernama) -- Kemeriahan menjelang Aidilfitri kian terasa apabila lebih 1,000 perantau warga Indonesia pulang ke kampung halaman masing-masing sejak awal minggu ini, melalui Terminal Feri Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana di sini. 

Tinjauan Bernama mendapati pintu masuk laluan laut ke Dumai dan Bengkalis, Indonesia dari Melaka itu mula dipenuhi perantau Indonesia, pelancong luar negara serta warga Malaysia berketurunan dari negara seberang itu, sejak 7 pagi malah ada yang tiba seawal 5 pagi untuk menaiki feri yang berlepas ke Dumai pada 10 pagi. 

Kesibukan di terminal feri itu juga dapat dilihat apabila terdapat majikan yang menghantar pekerja mereka sama ada secara individu atau berkumpulan pulang untuk beraya.   

Bagi Nor Hazlinda Mohd Wipah, 27, dia memilih beraya di kampung sebelah ibunya di Pekan Baru memandangkan kali terakhir pulang adalah pada 2019 iaitu sebelum penularan pandemik COVID-19. 

"Ini pengalaman kali pertama saya beraya di negara orang kerana menemani ibu yang sudah lama tidak pulang beraya di kampungnya di Indonesia dan itu sesuatu yang menyeronokkan walalupun terpaksa menempuh perjalanan lebih dua jam melalui laut dan lima hingga enam jam lagi bagi perjalanan darat," katanya yang menetap di Kuantan Pahang. 

Nor Hazlinda dan ibunya tiba di ICQS Melaka sekitar 6 pagi dan terkejut dengan suasana di jeti berkenaan yang dipenuhi perantau yang mahu pulang beraya. 

"Saya agak selesa walaupun dijangka feri penuh hari ini kerana masing-masing pasti berebut tempat memandangkan kekerapan perjalanan feri agak terhad iaitu dua kali sehari sempena hari raya ini, pada 10 pagi dan 2 petang," katanya. 

Sementara itu, Ahmad Dariman Hariyanto, 35, pula, pulang beraya ke Bengkalis melalui pengangkutan laut sudah menjadi tradisinya semenjak bekerja di Kuala Lumpur sejak lima tahun lepas kerana lebih murah dan mudah. 

"Setiap tahun terutamanya hari-hari terakhir Ramadan, memang feri akan penuh. Saya tempah tiket sejak dua minggu lepas dan mujur dapat kerana kapasiti feri sekitar 200 hingga 300 penumpang, bergantung kepada pengendali feri sama ada Kingdom atau Dinasty.

"Jadi kena datang awal kerana perlu melalui pemeriksaan kastam yang agak mengambil masa tetapi secara keseluruhannya, pengurusan dari kaunter hinggalah pelepasan, semuanya sangat lancar," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan