KUANTAN, 29 Mac (Bernama) -- Orang ramai terutamanya rakyat Pahang dijemput hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, anjuran Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersempena sambutan perayaan itu di Chini, Pekan.
Majlis yang dijadualkan pada 2 Syawal 1446 Hijrah atau pada hari kedua Aidilfitri itu, akan diadakan di Dewan Dato’ Shahbandar, Chini, Pekan bermula seawal 9 pagi sehingga 2 petang.
Wan Rosdy dalam hantaran di Facebook rasminya memaklumkan beliau juga akan menganjurkan satu lagi Majlis Rumah Terbuka di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan dekat Lipis bermula kira-kira jam 10.30 pagi pada 5 April.
“Dengan penuh rasa sukacita, saya menjemput seluruh rakyat di negeri Pahang untuk bersama-sama hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri yang akan diadakan di Chini dan juga Jelai,” katanya.
Beliau berkata majlis rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara pemimpin negeri dan rakyat, bahkan memberi kesempatan bagi berkongsi kegembiraan dalam suasana penuh kemesraan.
Pengunjung juga bakal disajikan dengan pelbagai juadah istimewa, sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri malah berpeluang beramah mesra dengan pemimpin negeri.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini dalam suasana muhibah dan kekeluargaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial