AM > BERITA

Aidilfitri: Tiket Penerbangan Ke Sabah Dan Sarawak Kekal Rendah, Terkawal - Loke

29/03/2025 11:24 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Tambang tiket penerbangan pada musim perayaan tahun ini kekal lebih rendah dan terkawal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata ia hasil inisiatif kerajaan yang menetapkan harga siling serta komitmen syarikat penerbangan yang menambah kapasiti penerbangan semasa musim perayaan.

“Ini merupakan satu cabaran besar setiap kali musim perayaan tetapi saya bangga kerana tahun ini kita tidak dengar tidak dapat beli tiket penerbangan balik Sabah, Sarawak ataupun tiket penerbangan yang terlalu mahal kerana memang kita ada dasar harga maksimum semasa musim perayaan.

“Tambahan pula ada penerbangan tambang tetap yang lebih rendah daripada harga maksimum kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Loke berkata semalam beliau berpeluang menyantuni penumpang Sabah dan Sarawak yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas usaha syarikat penerbangan yang menyediakan kapasiti tambahan kerana ia bukan suatu yang mudah dan memerlukan penyelarasan rapi pelbagai pihak seperti pengawal selia, syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.

“Tidak dilupakan, barisan petugas seperti pengawal trafik udara, krew kabin, juruterbang, dan pengendali darat yang membuat pengorbanan masa dan tenaga demi memastikan perjalanan rakyat Malaysia berjalan lancar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan