AM > BERITA

Saluran Paip Gas Terbakar Di Puchong - Bomba

01/04/2025 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan berlaku kejadian kebakaran saluran paip gas di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.23 pagi dan operasi pemadaman sedang dijalankan.

Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen yang turut berkongsi gambar kejadian menerusi Facebook beliau berkata anggota pasukan PANTAS Majlis Bandaraya Subang Jaya turut dalam perjalanan bagi membantu JBPM.

Beliau turut mengingatkan semua penduduk khususnya di kawasan berhampiran supaya berwaspada, sambil mendoakan semua yang terkesan selamat serta tabah, dan beliau juga yakin anggota bomba berupaya menangani kebakaran besar berkenaan.

Sementara itu menerusi siaran langsung seorang pengguna TikTok menggunakan akaun Perodua PuchongJayaJeffry, setakat 9.37 pagi ini api masih marak, walaupun kebakaran sudah berlarutan lebih sejam.

Beliau mengakui terdengar letupan kuat sebelum melihat api dilihat menjulang tinggi, dan tetap merasai bahang kebakaran itu walaupun berada cukup jauh dari lokasi kejadian.

Beliau berkata pasukan JBPM telah tiba di lokasi bagi menjalankan operasi memadam dan menyelamat.   

Sementara itu Ahmad Mukhlis dalam kenyataan berkata kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas, dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter.

Beliau berkata kebakaran itu berlaku berhampiran dengan kawasan perumahan awam, dan anggota bomba bersama agensi lain sedang melakukan proses membawa penduduk setempat keluar dari kawasan sekitar lokasi kejadian.

"Setakat ini belum dapat dipastikan bilangan yang terlibat," katanya.

Beliau berkata 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya,  Puchong, Shah Alam,  Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan,  Klang Utara dan Damansara dikerahkan ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan