AM > BERITA

TMIYC Pasir Gudang, Iskandar Puteri Bakal Dibuka Tahun Ini

01/04/2025 10:19 AM

JOHOR BAHRU, 1 April (Bernama) -- Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Pasir Gudang dan Iskandar Puteri dijangka dibuka secara rasmi kepada orang ramai masing-masing pada penghujung April dan Jun atau Julai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata ia secara keseluruhan menjadikan lima TMIYC beroperasi selepas Johor Bahru, Muar dan di Renggam, Kluang.

“Setakat ini kita sedang menunggu ketetapan tarikh oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail untuk perkenan mencemar duli merasmikan TMIYC tersebut.

“Kedua-dua TMIYC ini komponen pembinaannya lebih kurang sama iaitu lebih kepada (penyediaan fasiliti) aktiviti untuk anak muda dan tempat rekreasi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk membina TMIYC di Tangkak dengan majlis pecah tanah dijangka dilaksanakan tahun ini.

Mohd Hairi berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan TMIYC dapat dibina di setiap daerah di negeri ini dalam usaha memperkasakan golongan belia.

“Setiap daerah akan ada (TMIYC), pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah Pontian dan Kulai juga sudah berjumpa dengan saya (berbincang).

“Pembinaannya adalah mengikut kemampuan PBT dan berapa peruntukan itu akan dibincang selain mohon peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sebagainya,” katanya.

TMIYC merupakan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail bertujuan sebagai platform untuk komuniti belia menjalankan aktiviti rekreasi dan beriadah secara santai, dengan TMIYC pertama diwujudkan di Johor Bahru pada 21 Dis 2020.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini dilaporkan berkata Tunku Mahkota Ismail mahu TMIYC dibangunkan di semua 10 daerah di negeri ini dalam tempoh lima tahun bermula 2022.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan