AM > BERITA

Lebih 30,000 Meter Persegi Jalan Berlubang Di Kelantan Diselenggara - JKR

01/04/2025 11:10 AM

KOTA BHARU, 1 April (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyelenggara lebih 31,180 meter persegi jalan berlubang membabitkan jalan Persekutuan dan jalan negeri di Kelantan sejak Januari lepas.

Pengarah JKR Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata daripada jumlah itu, sebanyak 21,580 meter persegi ialah jalan Persekutuan manakala 9,600 meter persegi pula meliputi jalan negeri.

"Apabila pihak kami menerima laporan berhubung jalan berlubang, kita akan terus memberi respons dan segera menyelenggara jalan terbabit dalam tempoh 24 jam bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengulangi amaran tegas kepada semua syarikat konsesi penyenggaraan jalan raya untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, bagi mengelak insiden kemalangan maut daripada terus berlaku sebagaimana kejadian meragut nyawa dua beradik di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Johor pada 21 Mac lepas.

Nanta berkata di bawah polisi penyenggaraan aset, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui piagam pelanggannya menyatakan sekiranya terdapat kerosakan jalan raya, tampalan sementara hendaklah dilaksanakan pihak konsesi jalan Persekutuan yang dilantik dalam tempoh sehari manakala tampalan kekal perlu dilakukan dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi kerja pembaikan berskala besar, permohonan peruntukan perlu diangkat terlebih dahulu dan ia boleh dibuat secara tahunan dan berfasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan