AM > BERITA

Orang Ramai Dilarang Terbangkan Dron Di Kawasan Kebakaran Di Putra Heights - CAAM

01/04/2025 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melarang orang ramai daripada menerbangkan dron di kawasan berlakunya kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong, Selangor.

CAAM dalam kenyataan berkata larangan itu bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini berkaitan keselamatan orang ramai serta pasukan penyelamat yang sedang menjalankan operasi pemantauan udara di lokasi kejadian.

“Lokasi kejadian ini juga terletak di laluan kritikal penerbangan. Justeru larangan ini adalah penting bagi memastikan keutamaan diberikan kepada keselamatan pesawat yang sedang beroperasi.

“CAAM ingin mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Aviation Directives (CADs),” menurut kenyataan itu.

Kebakaran yang berlaku pagi tadi melibatkan kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter dengan api marak menjulang tinggi.

Operasi memindahkan penduduk di sekitar kawasan berhampiran turut dijalankan bagi menjaga keselamatan penduduk.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan