KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Beberapa kediaman di Kampung Sungai Baru yang berhampiran dengan lokasi kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor pagi tadi, turut terbakar.
Smart Selangor Operation Centre (SSOC) dalam kenyataan bagaimanapun memaklumkan, anggaran rumah yang terjejas masih belum dikenal pasti.
“Terdapat juga mangsa yang terperangkap di dalam rumah, usaha menyelamatkan mangsa sedang giat dijalankan,” menurut kenyataan itu hari ini.
SSOC menyatakan mangsa yang telah diselamatkan dibawa ke pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Height.
“Terdapat beberapa mangsa yang melecur dan menunggu ambulans untuk mendapatkan rawatan. Buat masa ini, pihak masjid sedang membantu mangsa.
“SSOC akan terus memantau dan membuat tindakan susulan tentang kejadian yang berlaku. SSOC juga akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
SSOC memberitahu menurut pihak berkuasa, stesen minyak Petronas berdekatan tidak terbakar dalam kejadian itu kerana kebakaran hanya melibatkan saluran gas utama serta saluran itu telah ditutup dan api akan padam sepenuhnya apabila gas di saluran itu habis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Razali Wan Ismail berkata kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter.
Beliau berkata berkata sebanyak tujuh mangsa diselamatkan dalam kejadian terbabit dan operasi pemadaman masih dilakukan hingga kini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial