AM > BERITA

Kebakaran Saluran Gas: Mangsa Kongsi Detik Cemas

01/04/2025 05:22 PM

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama)  -- Peristiwa yang berlaku pada raya kedua Aidilfitri kali ini pastinya akan tersemat dalam ingatan Sharmaine Pan, 33, yang berdepan pengalaman mengerikan apabila turut menjadi mangsa dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. 

Sharmaine yang melecur tahap pertama hampir tujuh peratus pada kedua-dua betis serta luka akibat terjatuh ketika melarikan diri berkata turut kedengaran bunyi aneh seperti gegaran.

“Kami sedang tidur dan dengar bunyi pelik. Kami buka tingkap untuk melihat apa yang berlaku dan tingkap bergegar. Kemudian lihat api marak di kawasan berdekatan.

“Kami turun ke bawah dan berasa seolah-olah ada yang tidak kena. Jadi kami buat keputusan keluar untuk selamatkan diri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui Hospital Putrajaya selepas menerima rawatan.

Pereka hias dalaman Robin Yeoh Jin Ghee, 46, yang menceritakan detik insiden yang berlaku kira-kira 8 pagi itu berkata ketika kejadian beliau dan isteri sedang berehat di rumah.

"Kami pergi ke ruang makan dan sembunyi bawah meja. Seluruh rumah masih bergegar. Masa kami cuba untuk keluar dan ketika buka pintu pagar, kami lihat banyak serpihan jatuh. Kami pun tak tahu apa bendanya – ia kelihatan seperti meteor," katanya ketika ditemui di hospital.

Beliau berkata apabila mereka cuba keluar, pelbagai objek jatuh dan keadaan di luar rumah kelihatan seperti dilanda ribut kuat dan disebabkan keadaan yang berbahaya, mereka berundur kembali ke dalam rumah dan berlindung di bilik belajar. 

Keadaan semakin mencemaskan apabila bahagian belakang rumah runtuh dan api mula kelihatan dan lantai dipenuhi air akibat paip pecah dan menggunakan kain basah bagi menghalang asap masuk ke dalam bilik.

"Kami cuba halang asap daripada masuk melalui bawah pintu. Ia berlaku untuk tempoh agak lama, lebih sejam dan keadaan bertambah teruk.

"Saya cuba jenguk ke luar. Bumbung stor di halaman belakang rumah kami terbakar. Saya cuba naik ke bilik untuk mengambil telefon dan beberapa barang lain, tetapi gagal. Saya cuba sebanyak tiga kali untuk naik tapi terlalu bahaya," katanya sambil menambah bahagian atas rumah mereka musnah manakala tingkat bawah juga mengalami kerosakan teruk.

Sementara itu, sesi joging pada pagi yang tenang sempena cuti umum bertukar menjadi detik mencemaskan bagi seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun apabila menyaksikan pemandangan api yang marak di Jalan Putra Harmoni.

Harban Singh yang menetap di USJ 9, Subang Jaya berkata ketika sedang berjoging kira-kira 8.25 pagi dan dia tergamam apabila melihat kebakaran itu. 

"Saya dan saudara yang ada bersama saya pada mulanya menyangka ia mungkin kebakaran rumah. Tetapi rupa-rupanya ia kebakaran besar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan