AM > BERITA

Kebakaran Saluran Gas Dipadam Sepenuhnya, 305 Mangsa Diselamatkan - Amirudin

01/04/2025 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kebakaran di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor berjaya dipadam sepenuhnya pukul 3.45 petang ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin menerusi catatan di Facebook berkata 305 mangsa insiden kebakaran itu berjaya diselamatkan setakat pukul 5 petang ini.

Beliau berkata mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan Pusat Perubatan Hospital Subang Jaya, Sunway Medical Centre, Hospital Serdang serta Hospital Putrajaya.

“Keutamaan pada masa sekarang adalah keselamatan penduduk. Dua kawasan perumahan terbabit seluas radius 290 meter akan ditutup dan dikategorikan sebagai kawasan larangan sehingga ia dipastikan selamat sebelum penduduk dibenarkan kembali ke rumah mereka,” katanya menerusi hantaran itu. 

Amirudin berkata Kerajaan Selangor akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam mengendalikan isu berkenaan demi kesejahteraan para penduduk.

Terdahulu, Amirudin tiba di Pos Kawalan Tempat Kejadian pada 4.20 petang dan bertemu Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad.

Setakat pukul 3.40 petang ini, 190 unit rumah, 148 kereta serta 11 motosikal dilaporkan rosak dalam kejadian kebakaran itu.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan