PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Suasana ceria hari kedua Aidilfitri hari ini bertukar duka buat seorang warga emas apabila mendapat tahu bekas isterinya merupakan antara mangsa yang tercedera dalam insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Meskam Tumin, 73, berkata dia dimaklumkan oleh anak perempuannya pagi tadi bahawa rumah bekas isterinya Sopiah Othman, 63, terbakar dalam kejadian itu dan wanita terbabit cedera di bahagian belakang badan dan kaki.
“Saya tidak tahu (berlaku kebakaran) kerana tidak menonton televisyen. Anak perempuan menelefon saya dan mengatakan rumah ibunya terbakar.
“Saya sangka ia kebakaran akibat gas biasa, namun anak nafikan dan mengatakan ia disebabkan saluran gas petroleum,” katanya hiba ketika ditemui Bernama di pekarangan Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Meskam yang ketika itu berada di Seri Kembangan bergegas ke lokasi kejadian dan melihat kepulan asap menyelubungi rumah bekas isterinya itu.
“Saya terus ke tempat orang ramai berkumpul, cuba dapatkan maklumat kejadian dan menghubungi ambulans … saya sendiri yang bawa bekas isteri ke hospital.
“Namun, bekas isteri pengsan ketika dalam perjalanan ke hospital … sekarang saya hanya mampu menunggu keputusan doktor,” katanya yang berdoa agar bekas isterinya selamat dan rawatan berjalan lancar.
Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.10 pagi tadi yang melibatkan kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat 5 petang, sebanyak 305 mangsa kejadian kebakaran itu berjaya diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta Pusat Perubatan Hospital Subang Jaya, Pusat Perubatan Sunway, Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial