AM > BERITA

Malaysia Raikan Kedatangan Pelancong Dalam Suasana Hari Raya Aidilfitri Di Lapangan Terbang Utama

02/04/2025 10:30 AM

SEPANG, 1 April (Bernama) -- Malaysia menyambut pelancong domestik dan antarabangsa dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara besar-besaran di lima lapangan terbang utama hari ini, menandakan momen utama kempen Tahun Melawat Malaysia (VM2026).

Sambutan itu yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 di ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching merupakan pertunjukan tradisi dan kepelbagaian budaya yang penuh meriah.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Chua Choon Hwa, Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Dr Yasmin Mahmood dan Ketua Pengarahnya Datuk Manoharan Periasamy.

Bercakap kepada pemberita selepas sambutan di Terminal 1 KLIA, Shaharuddin berkata program itu bertujuan memperkenalkan budaya dan warisan negara iaitu satu daripadanya ialah perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita ingin memperkenalkan budaya dan warisan yang ada di negara kita, salah satunya adalah sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat antarabangsa serta dalam negara supaya mereka dapat memahami lebih mendalam tentang apa yang ada di Malaysia, terutama dari segi budaya, warisan seperti tarian dan makanan,” katanya.

Dalam sambutan itu, cenderahati perayaan diedarkan di Dewan Ketibaan (di kedua-dua KLIA T1 dan T2) sekali gus mendedahkan pengunjung kepada keramahan Malaysia yang telah pun diketahui ramai selain warisan kebudayaan

Suasana juga dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dengan tema istimewa Aidilfitri.

Maskot VM2026, Wira dan Manja turut membuat penampilan, menawan para tetamu dengan kehadiran mereka yang ceria.

Turut diketengahkan sesi mengacau dodol dan demonstrasi membuka lemang.

Sementara itu, Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pada 2024, Malaysia mencatatkan 38 juta kedatangan pelawat iaitu peningkatan signifikan 31.1 peratus berbanding 29 juta kedatangan pada 2023. 

Angka itu juga mengatasi rekod sebelum pandemik 35 juta kedatangan pada 2019 dengan 8.6 peratus.

Pasaran pelawat utama negara ialah daripada Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan dan Taiwan. 

Jumlah resit pelawat mencecah RM106.78 bilion pada 2024, mencerminkan pertumbuhan besar 43.7 peratus berbanding 2023 dan mengatasi tahap 2019 dengan 20 peratus.

Menurut lembaga pelancongan itu, momentum berkenaan diteruskan memasuki Januari 2025, dengan lonjakan 54.4 peratus kedatangan pelawat, menjangkau 3.8 juta berbanding 2024 dan peningkatan 24.4 peratus berbanding tempoh sama ketika prapandemik 2019.

Singapura kekal sumber pasaran utama, menyumbang 1.7 juta kedatangan, diikuti China, Indonesia, Thailand dan Brunei.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan