AM > BERITA

67 Mangsa Cedera Masih Menerima Rawatan Di Empat Hospital Awam - KKM

02/04/2025 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) --Seramai 67 orang daripada keseluruhan 145 mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, masih menerima rawatan di empat hospital awam setakat 4 petang ini.

Menurut data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikongsikan kepada media, seramai 28 orang daripada mereka menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Hospital Cyberjaya (24), Hospital Putrajaya (13) dan dua di Hospital Ampang.

Data itu juga menunjukkan 37 mangsa dirawat di lima hospital swasta, termasuk 22 orang di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), lapan di Sunway Medical Centre (SMC), lima di Hospital Avisena dan seorang mangsa di Hospital Thomson.

Baki 41 mangsa pula sudah discaj setelah menerima rawatan masing-masing.

Menurut KKM, sejak insiden dilaporkan kira-kira 8 pagi, 106 orang menerima rawatan awal di Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya, yang dijadikan pusat pemindahan sementara untuk menempatkan mangsa sebelum dirujuk ke hospital berdekatan.

Kenyataan itu memaklumkan sramai 39 orang lagi datang sendiri (walk-in) ke hospital awam atau hospital serta klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, menerusi catatan di Facebook beliau, memaklumkan kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 3.45 petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas sepanjang 500 meter berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan