AM > BERITA

Dzulkefly Zahir Penghargaan Kepada Pasukan Beri Respons Pantas

02/04/2025 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa yang memberikan respons pantas terhadap insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor hari ini. 

Dzulkefly menerusi hantaran di Facebook rasminya malam ini menzahirkan penghargaan itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan petugas Kementerian Kesihatan.

“Juga ribuan terima kasih buat pengamal perubatan terutamanya klinik dan hospital swasta terdekat yang memberikan rawatan kepada mangsa. 

“Kesihatan negara perlu diurus menggunakan pendekatan seluruh negara #WholeOfNation - awam, swasta dan sektor ketiga harus seiringan memberikan khidmat terbaik,” katanya.

Beliau mengakui walaupun sebelum ini KKM menyatakan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan, insiden kebakaran ini sedikit sebanyak mengejutkan pasukan bertugas, terutama pasukan yang menguruskan kecederaan lecur akibat kebakaran

“Buat orang awam di sekitar kawasan insiden yang mengalami apa-apa simptom seperti sesak nafas, lecur pada kulit, serak suara atau apa-apa simptom lain yang mungkin sukar dikenal pasti, mereka digalakkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sama ada hospital atau klinik, tidak kira awam atau swasta,” katanya.

Setakat pukul 4 petang tadi, 28 mangsa menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Cyberjaya (24 orang), Hospital Putrajaya (13 orang) dan Hospital Ampang (dua orang) susulan kejadian itu. 

Data KKM juga menunjukkan 37 mangsa dirawat di lima hospital swasta termasuk 22 orang di Subang Jaya Medical Centre, Sunway Medical Centre (lapan orang), Hospital Avisena (lima orang) dan Hospital Thomson (seorang mangsa).

Baki 41 mangsa pula sudah dibenarkan keluar hospital setelah menerima rawatan masing-masing. 

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendoakan agar semua mangsa diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk menghadapi ujian tersebut.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, beliau turut menyampaikan rasa simpati kepada mereka yang terlibat dalam insiden mengejutkan yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri.

“Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada yang cedera dan ketabahan kepada semua yang mengalami kerosakan tempat tinggal serta harta benda,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut mendoakan agar semua mangsa tabah serta kuat menghadapi dugaan tersebut, selain sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.

"Elakkan mendekati kawasan kejadian dan segera laporkan sebarang situasi mencurigakan kepada pihak berwajib," pesannya.

Turut merakamkan ucapan simpati ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang menasihati semua mangsa supaya tidak ragu atau segan untuk menghubungi pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantuan.

"Kami bersama anda dalam saat yang sukar ini. Semoga semua yang terjejas diberikan kekuatan dan ketabahan untuk pulih kembali," katanya menerusi hantaran di Facebook.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan