AM > BERITA

PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Presiden Syria Atas Pembentukan Kerajaan Baharu

07/04/2025 09:51 AM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Syria Ahmed al-Sharaa atas pembentukan kerajaan Syria yang baharu.

Menerusi catatan di Facebooknya hari ini, Anwar berkata Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan dua hala khususnya dalam bidang ekonomi, dan bersedia menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur serta menyumbang kepada usaha pembinaan semula Syria.

“Presiden al-Sharaa juga telah menjemput saya untuk melawat Syria sebagai usaha mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.

Pada 29 Mac lepas, Syria secara rasmi mengumumkan barisan Kabinet baharu dengan Presiden Ahmed al-Sharaa menegaskan komitmen kerajaan untuk membangunkan semula institusi negara berlandaskan kebertanggungjawapan dan ketelusan, lapor Anadolu Ajansi.  

Sebelum ini kerajaan sementara yang diketuai Perdana Menteri Mohammed al-Bashir telah dilantik untuk tempoh tiga bulan selepas rejim Bashar al-Assad digulingkan oleh pasukan anti-rejim yang dipimpin oleh al-Sharaa pada Disember lepas.

Al-Sharaa kemudiannya diumumkan sebagai Presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari.  

Assad yang memerintah Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik pada 8 Dis, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang telah berkuasa sejak 1963.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan