AM > BERITA

Kastam Pahang Rampas Bijih Timah, Kapal Dan Lori Bernilai RM4.107 Juta

07/04/2025 04:11 PM

KUANTAN, 7 April (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang buat kali pertama menumpaskan aktiviti pemunggahan bijih timah secara haram dengan anggaran barang rampasan, termasuk bijih timah bernilai RM4.107 juta dalam serbuan di sebuah jeti dekat Rompin pada 11 Mac lepas.

Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata serbuan pada 2 pagi oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang itu turut menahan seorang suspek lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun.

"Hasil pemeriksaan, pasukan menemukan sebuah lori bersama muatan dipercayai bijih timah yang disimpan di dalam guni berwarna putih. Siasatan lanjut ke atas sebuah kapal di jeti itu turut menemukan bahan mineral sama di dalam ruang penyimpanan. 

"Perolehan bagi kes ini melibatkan sebanyak 600 guni bijih timah seberat 50 kilogram (kg) setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan 30,000 kg dengan nilai RM2.857 juta. Kita turut merampas barang kes iaitu lori dan kapal berkenaan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Asri berkata modus operandi sindiket terbabit ialah mereka mengimport sumber mineral dari negara jiran tanpa dokumen sah dan mendaratkannya di jeti haram pada awal pagi bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kita percaya bijih timah berkenaan dibawa dari negara jiran ke negara ini untuk diproses bagi dijadikan jongkong," katanya.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 116C Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan