AM > BERITA

Lelaki Myanmar Dikhuatiri Lemas Ketika Jala Ikan

07/04/2025 06:39 PM

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di sungai berhampiran Loji Rawatan Air Sungai Linggi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata mangsa yang berusia 35 tahun dari Kuala Lumpur datang ke kawasan itu bersama dua lagi rakannya untuk memancing.

“Polis menerima laporan berkaitan kejadian pada 5.40 petang selepas seorang pemandu e-hailing menahan pasukan polis peronda memaklumkan terdapat individu dikhuatiri lemas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan pada 7 malam dan diberhentikan pada 12 tengah malam tadi atas faktor keselamatan kerana hujan lebat dan air mula naik.

Pencarian katanya diteruskan hari ini dengan bantuan bomba hingga ke jambatan Sungai Linsum.

Mohamad Hatta berkata setakat ini kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Sementara itu, Penasihat Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Teluk Kemang Mohd Kamal Mohd Timar berkata 25 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, BBP Teluk Kemang dan BBP Rantau terlibat dalam SAR berkenaan.

“Pencarian melibatkan di persisiran tebing sungai, menggunakan kayak, pasukan akan menelusuri sungai hingga ke Sungai Linggi dalam jarak antara 500 hingga 600 meter serta pasukan PPDA menyelam pada kedalaman lebih tiga meter, kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan