TAPAH, 7 April (Bernama) -- Ziarah Kasih MADANI bukan program berunsur politik sebaliknya diwujudkan bagi memastikan bantuan atau sumbangan sampai kepada golongan sasar, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata setiap nama penerima terpilih diselaraskan beberapa pihak termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan pemilihan itu tidak mengenal batas politik.
“Kita tidak pernah guna platform atau ruang Ziarah Kasih MADANI ini untuk membawa logo politik dan sebagainya. Kerajaan ini tidak membeza-bezakan bantuan mengikut fahaman politik.
“Contohnya di Terengganu tempoh hari (bantuan). Kalau ikut fahaman politik, jelas ia berbeza daripada kerajaan pusat, namun disebabkan ada keperluan untuk dibantu, kita bantu,” katanya ketika ditemui selepas Ziarah Kasih MADANI di kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning di sini hari ini.
Ziarah Kasih MADANI adalah satu daripada inisiatif diwujudkan Kerajaan Perpaduan bagi menyantuni kelompok memerlukan serta mengetahui permasalahan dihadapi.
Selain itu, objektif utama ia digerakkan adalah untuk menoktahkan kemiskinan serta pada masa sama mengeluarkan golongan sasar daripada kepompong berkenaan melalui pelbagai inisiatif disediakan.
Sementara itu, Muhammad Kamil berkata program itu bukan hanya pelaksanaan aktiviti berbentuk kebajikan semata-mata sebaliknya memberi ruang kerajaan menyelami realiti kehidupan rakyat terutama golongan miskin.
“Ziarah ini adalah tinjauan untuk kita lihat sejauh mana program pembasmian miskin tegar itu dilaksanakan dan pada masa sama kita juga boleh mendapat maklum balas atau respons secara langsung daripada mereka yang menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata antara bantuan yang dihulur bukan sahaja membabitkan wang tunai, tetapi juga kerja-kerja pembaikan jalan, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.
Pada program hari ini, lima penerima dari Kampung Pasir Batu Masjid, Temoh menerima bantuan kewangan dan kotak makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial