SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan projek perumahan di Sendayan di sini hanya melibatkan kawasan tanah persendirian milik pemaju sahaja dan tidak membabitkan laluan paip gas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata hasil penelitian dan pemantauan pihaknya bersama pasukan Gas Malaysia dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini mendapati keadaan adalah terkawal.
Beliau berkata kerja-kerja pembinaan hanya berlaku dalam kawasan persendirian bukan di laluan saluran paip milik Gas Malaysia seperti dakwaan yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
"Kedudukan paip ini sejajar dengan jalan raya dan terletak dalam rizab jalan JKR (Jabatan Kerja Raya).
“Pihak pemaju membuat permohonan dengan Gas Malaysia terlebih dahulu dan bagi kes ini pihak pemaju memang ada buat permohonan dan mendapat kelulusan, jadi tiada isu," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek perumahan di Laman Sendayan dekat sini hari ini.
Turut hadir wakil Gas Malaysia cawangan Senawang Mohamad Saifullah Abd Hamid, wakil pemaju dan Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban Mohd Kamal Mohd Yusoff.
Arul berkata pihaknya telah meminta pasukan Gas Malaysia, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk sentiasa memantau kerja pembinaan di sini secara berterusan.
“Saluran paip gas ini adalah untuk kegunaan industri bagi kawasan Seremban 2 hingga ke Lukut, Port Dickson. Paip seperti ini ada banyak di Seremban, di bandar pun ada malah sepanjang jalan pun memang ada saluran paip gas seperti ini.
"Bagaimanapun, kita akan pantau secara berterusan dan kalau masyarakat ada lihat apa-apa di laluan paip gas boleh bagi aduan, laporkan kepada kami,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial