AM > BERITA

Isu 3R: MCMC Buka Empat Kertas Siasatan, Pempengaruh Politik Antara Disiasat

07/04/2025 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu yang didapati memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur 3R (perkauman, agama dan institusi diraja) di platform Facebook dan TikTok.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan sesi rakaman percakapan terhadap kedua-dua individu tersebut telah dijalankan hari ini di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya bagi membantu siasatan lanjut.

“Salah seorang daripada dua individu tersebut merupakan pempengaruh dan aktivis politik yang menimbulkan sentimen perkauman di media sosial, melibatkan lagu kebesaran Negeri Perak, penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad serta isu pengambilalihan Menara Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM milik salah seorang suspek telah disita bagi tujuan analisis forensik.

Bagi seorang lagi suspek, MCMC memaklumkan telefon bimbit miliknya telah disita oleh pihak polis bagi siasatan berkaitan kesalahan yang berbeza.

Menurut MCMC, kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab dan berhemah serta tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan