KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Individu yang menjalankan perniagaan wajib melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) walaupun mereka mengalami kerugian.
Ketua Penolong Pengarah LHDN Kuala Lumpur Syed Mohd Syukree Syed Mohd Kamil berkata ramai pembayar cukai menganggap mereka tidak perlu melaporkan pendapatan jika mengalami kerugian sedangkan itu adalah tanggapan yang salah.
“Rugi dalam perniagaan adalah perkara biasa. Tak kira untung atau rugi, anda tetap wajib hantar dan laporkan pendapatan setiap tahun. Jangan risau kalau perniagaan rugi, tidak semestinya anda kena cukai.
“Kalau anda mempunyai pendapatan lain seperti gaji, gabungan pendapatan akan dikira dalam Borang B (Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi individu yang menjalankan perniagaan). Jadi, masih berkemungkinan anda dikenakan cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio hari ini yang membincangkan topik ‘Perniagaan Untung atau Rugi: Wajib Hantar Borang B’.
Syed Mohd Syukree berkata individu yang diklasifikasikan menjalankan perniagaan termasuk Youtuber, ‘Instafamous’, pempengaruh atau yang membuat ulasan berbayar, selagi mereka menerima pendapatan.
Beliau menegaskan kegagalan untuk melaporkan pendapatan dalam tempoh ditetapkan adalah satu kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.
“Menurut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) boleh menyebabkan seseorang dikenakan denda antara RM200 hingga RM20,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, anda boleh dikenakan audit cukai, melibatkan semakan menyeluruh terhadap semua transaksi dan dokumen kewangan perniagaan. Proses ini boleh jadi rumit, memakan masa dan menjejaskan reputasi serta kewangan perniagaan, jadi boleh mula lapor pendapatan sekarang melalui Borang B atau e-B di Portal MyTax dari 1 Mac hingga 15 Julai,” katanya.
Bagi memudahkan urusan penghantaran laporan pendapatan itu setiap tahun, beliau menyarankan rekod percukaian perniagaan disimpan sekurang-kurangnya tujuh tahun termasuk penyata kewangan perniagaan, penyata bank, rekod keluar masuk wang tunai, invois pembekal dan invois jualan kepada pelanggan.
“Untuk perbelanjaan yang boleh dituntut pula, hanya perbelanjaan yang benar-benar berkaitan secara langsung dengan perniagaan sahaja yang dibenarkan. Oleh itu, anda perlu bijak membezakan antara perbelanjaan perniagaan dan perbelanjaan peribadi supaya tidak melakukan kesalahan semasa menghantar dan melaporkan pendapatan anda,” katanya.
Syed Mohd Syukree menjelaskan dengan mematuhi kewajipan melaporkan pendapatan, seseorang individu dapat meningkatkan imej dan reputasi perniagaan mereka di mata pelanggan, pelabur dan pihak berkuasa kerana menunjukkan komitmen menjalankan perniagaan mengikut undang-undang percukaian.
Selain itu, mereka akan lebih mudah memperoleh insentif dan pengecualian cukai daripada kerajaan termasuk insentif pelaburan dalam sektor tertentu, bantuan penyelidikan dan pembangunan, serta kemudahan untuk pemilik perniagaan kecil dan sederhana.
“Pembayaran cukai yang teratur juga memberi peluang kepada kerajaan untuk menyediakan sokongan kepada perniagaan, seperti program latihan, pembiayaan mikro dan bantuan teknikal yang dapat membantu perniagaan berkembang dan lebih berdaya saing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial