AM > BERITA

Majikan Sektor Makanan, Penginapan Paling Liat Carum PERKESO - PERKESO

09/04/2025 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Majikan sektor penginapan serta makanan dan minuman dikenal pasti paling liat mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dengan 880 kes kompaun dan pendakwaan direkodkan sejak tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata dua lagi sektor dengan tahap ketidakpatuhan tertinggi seperti premis penyelenggaraan kenderaan dan salun kecantikan (658 kes) serta sektor pengeluaran (590 kes).

Beliau berkata semua majikan digesa mengambil peluang sempena bulan pemutihan yang berlangsung dari 1 hingga 30 April ini untuk mendaftar dan mencarum secara sukarela bagi mengelak tindakan undang-undang.

“Kesempatan satu bulan ini dikira peluang terakhir untuk majikan mendaftar pekerja masing-masing dan jelaskan caruman tertunggak sebelum PERKESO menjalankan penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi di seluruh negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Majikan yang tampil secara sukarela sepanjang tempoh pemutihan akan dikecualikan daripada kompaun, pendakwaan serta Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

Beliau berkata sejak pelaksanaan Op Pekerja Asing penghujung tahun lepas, liputan perlindungan PERKESO untuk pekerja asing mencatat peningkatan 5.5 peratus, dengan 120,608 pencarum baharu setakat Februari lepas.

Sektor pengeluaran merekodkan pengambilan pekerja asing tertinggi (24 peratus) diikuti pembinaan (17 peratus) dan perkhidmatan manusia (11 peratus) daripada keseluruhan 527,698 individu berdaftar.

“Majikan sektor ini juga disaran memanfaatkan bulan pemutihan bagi terus mendaftar dan mencarum pekerja asing mereka bagi mengelak sebarang tindakan perundangan. Jika gagal berbuat demikian, majikan boleh dikenakan kompaun dan pendakwaan hingga RM5,000," katanya. 

Antara 2019 hingga 2024, PERKESO mengeluarkan 15,922 notis kompaun bernilai RM11.91 juta kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, selain 13,215 kes pendakwaan direkodkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Setakat Februari, hampir 1.64 juta majikan berdaftar di bawah Akta 4 namun hanya 641,631 majikan aktif mencarum manakala jumlah pekerja aktif ialah hampir 10 juta.

Beliau juga berkata Program Op Kesan yang dilaksanakan setiap tahun menunjukkan peningkatan ketara dalam pendaftaran majikan dan pekerja semasa tempoh pemutihan namun masih terdapat sekitar 15 hingga 20 peratus majikan tidak berdaftar.

“Kami perhatikan, setiap kali tempoh pemutihan diberikan, jumlah majikan dan pekerja yang mendaftar meningkat, kadangkala hingga dua kali ganda. Namun, penting untuk majikan sentiasa memikirkan kebajikan pekerja dan mendaftar tanpa perlu menunggu pengumuman atau operasi seperti ini,” katanya.

Majikan juga boleh membuat pendaftaran melalui Portal ASSIST, mengunjungi 54 pejabat PERKESO di seluruh negara atau hubungi careline 1-300-22-8000

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan