AM > BERITA

Sabah Lancar Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan

09/04/2025 02:07 PM

KOTA KINABALU, 9 April (Bernama) -- Kerajaan Sabah hari ini melancarkan Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan (CEMP) yang merupakan inisiatif penting dalam meningkatkan standard penjagaan haiwan berkenaan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata pelan itu juga merupakan antara output utama daripada Pelan Tindakan Gajah Borneo yang mengukuhkan komitmen negeri untuk memastikan amalan terbaik pengurusan gajah di luar habitat asal dan usaha konservasi jangka panjang.

"Matlamat kami jelas - kami mahu kemudahan kawasan perlindungan haiwan seperti Santuari Gajah Borneo dan Taman Hidupan Liar Lok Kawi diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai pusat kecemerlangan," katanya ketika berucap melancarkan pelan berkenaan dan merasmikan Simposium Pemuliharaan Gajah Borneo di sini hari ini.

Sabah adalah habitat bagi gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis, yang dikategorikan sebagai Terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), disebabkan populasi yang kecil dan semakin berkurangan dengan dianggarkan hanya kira-kira 1,000 ekor di habitat semula jadi.

Ia juga dikenali sebagai gajah pygmy Borneo, subspesies gajah Asia ini dibezakan melalui saiznya yang lebih kecil dengan gajah jantan mampu membesar sehingga ketinggian kira-kira 2.5 meter berbanding tiga meter bagi gajah Asia di tanah besar.

Gajah Asia itu diisytiharkan Terancam di bawah Senarai Merah IUCN mengikut penilaian pada 18 Sept 2019 dan diterbitkan pada 2020; manakala subspesiesnya, gajah Borneo diisytiharkan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN, menurut penilaian pada 17 Nov 2023 dan diterbitkan pada tahun yang sama.

Liew berkata kemudahan kurungan ini menyediakan tempat perlindungan bagi gajah yang tidak dapat  dilepaskan serta-merta ke habitat asal, sambil menyokong proses pemulihan dan pelepasan semula terutamanya di Santuari Gajah Borneo.

"Latihan yang bersesuaian, sumber dan pengiktirafan untuk penjaga gajah adalah penting kepada kerja mereka. Melabur dalam infrastruktur yang lebih baik akan meningkatkan kesejahteraan gajah dan menyajikan pengalaman pelancongan yang lebih menarik," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan CEMP akan memperkukuh usaha pemuliharaan sambil meningkatkan daya tarikan pelancongan Sabah dengan menarik minat pengunjung menyokong pemuliharaan hidupan liar yang beretika.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudiannya, Liew berkata konflik antara manusia dan gajah adalah realiti yang perlu dihadapi bersama tetapi bukan melihatnya sebagai beban dengan usaha perlu dilakukan bagi mencari kaedah untuk menukar cabaran ini kepada sesuatu yang positif, terutama untuk komuniti tempatan.

"Pemuliharaan berasaskan komuniti, inisiatif ekopelancongan dan skim pampasan adalah beberapa kaedah yang wajar diteroka. Komuniti tempatan boleh memainkan peranan penting dalam usaha membanteras pembunuhan dan pemburuan haram," katanya.

Oleh itu, beliau berkata masyarakat setempat  boleh membantu usaha berkenaan seperti menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai bangkai gajah pygmy Borneo tanpa kepala yang ditemui di Tawau baru-baru ini.

"Kes ini masih dalam siasatan, tetapi saya percaya orang ramai tahu siapa pelakunya. Saya perlu berbincang dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengenai perkara ini. Orang ramai benar-benar sayangkan gajah, jadi kita mesti menggalakkan mereka untuk membantu pemuliharaan haiwan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan