KOTA KINABALU, 9 April (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dijadual merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Tahun 2025 Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini esok.
Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata ini merupakan istiadat pembukaan persidangan DUN Sabah pertama selepas Musa yang juga bekas Ketua Menteri mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11 pada Januari lepas.
Kadzim berkata pihaknya telah mengadakan persiapan bagi memastikan perjalanan istiadat perasmian itu berlangsung dengan teratur, yang antara lain melibatkan ketibaan Musa, upacara tabik hormat dan pemeriksaan barisan kehormat.
"Esok, ada dua pengisian. Pertama, perasmian persidangan DUN yang akan dihadiri lebih 500 orang. Kedua, selepas ucapan dasar oleh TYT (Tuan Yang Terutama) Tun Musa, kita akan beredar untuk jamuan Aidilfitri dengan (tetamu) dijangka 1,500 orang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata persidangan DUN Sabah akan berlangsung selama empat hari mulai 14 April dengan empat Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan melibatkan tiga RUU Pindaan merangkumi undang-undang tanah, hutan dan perumahan, manakala satu RUU baharu berkaitan gajah.
Kadzim berharap semua wakil rakyat dapat mengambil bahagian dalam persidangan DUN kali ini dengan mengutarakan idea bernas dan hanya membahaskan isu mahupun perkara terkandung dalam ucapan dasar kerajaan negeri yang disampaikan Musa bagi membolehkan persoalan dijawab kementerian berkaitan.
"Saya mengharapkan, lebih-lebih lagi pada sidang kali ini, kita dalam pertengahan Syawal, tenanglah dalam perbahasan. Tenang dan bangkitkan (isu-isu) bernas dan yang disentuh oleh Yang Dipertua Negeri.
"Mana-mana pihaklah, penyokong kerajaan dan pembangkang, jangan gunakan ucapan Tun Musa untuk persediaan pilihan raya dan jangan dipolitikkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial