AM > BERITA

Sultan Pahang Kurnia Surat Cara Pelantikan Kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Dan Pegawai Kewangan

09/04/2025 03:37 PM

KUANTAN, 9 April (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  hari ini berkenan menerima menghadap dan mengurniakan Surat Cara Pengisytiharan Pelantikan dan menyaksikan Ikrar Taat Setia Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu, Datuk Nazri Abu Bakar.

Istiadat penuh adat itu berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini, pagi tadi.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Nazri yang sebelum ini Pegawai Kewangan Negeri Pahang dilantik menggantikan Datuk Seri Zulkifli Yaacob yang bersara wajib Isnin lepas setelah berkhidmat selama 36 tahun bermula sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah Jerantut pada 1 Ogos 1989.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Surat Cara Pengisytiharan Pelantikan dan menyaksikan Ikrar Taat Setia oleh Datuk Fadzilla Salleh yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pahang yang baharu menggantikan Nazri.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Al-Sultan Abdullah, dalam titah baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pegawai kanan kerajaan negeri atas pelantikan masing-masing, sambil mengingatkan bahawa jawatan yang disandang adalah amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi, keikhlasan dan tanggungjawab.

“Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi amanah yang tidak boleh dianggap sebagai keistimewaan semata-mata. Kedudukan ini melambangkan kepercayaan, bukan sahaja daripada pihak pentadbiran negeri malah daripada rakyat jelata yang menaruh harapan tinggi terhadap kewibawaan dan kebijaksanaan para pemimpin negeri,” titah baginda.

Baginda turut menyeru agar seluruh jentera pentadbiran negeri memperkemas dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam demi memenuhi keperluan sebenar rakyat.

“Kita perlu bergerak ke hadapan dengan sistem pentadbiran yang lebih efisien, tersusun dan responsif, bukan semata-mata memenuhi prosedur tetapi menjawab keperluan rakyat,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa negeri ini tidak akan mampu maju sekiranya terus terikat dengan sistem lapuk yang mengekang daya saing.

“Daripada menunggu kepada mendahului, daripada beralasan kepada menyelesaikan dan daripada melindungi kelemahan kepada memperjuangkan penambahbaikan,” titah baginda.

Baginda turut mengambil maklum kebimbangan rakyat, pemaju dan pelabur terhadap kelewatan proses kelulusan projek dan permohonan tanah akibat kerenah birokrasi yang panjang, dan mahu perkara itu ditangani segera.

“Birokrasi yang cermat adalah penting, tetapi birokasi yang membelenggu adalah beban yang harus dileraikan,” titah baginda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan