AM > BERITA

Kerajaan Akan Perincikan Tindakan Susulan Tarif AS Isnin Ini - Fahmi

09/04/2025 06:50 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Kerajaan akan memperincikan tindakan susulan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia dalam mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) pada Isnin ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut dibincangkan oleh Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini.

Fahmi berkata sebarang keputusan akan turut tertakluk kepada hasil Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN yang diadakan esok serta perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin negara ASEAN lain.

"Pada Isnin, kita akan memperincikan perkara ini sebelum kita meminta rombongan (delegasi) bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan dihantar ke Washington," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Fahmi berkata tarikh bagi menghantar rombongan berkenaan sedang ditetapkan.

Minggu ini, Kerajaan, khususnya melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sedang melibat urus dengan pihak industri, perniagaan, eksport dan pasaran modal bagi mengumpul maklum balas yang akan dibentangkan dalam satu kajian impak kepada NGCC Isnin ini.

Pada 2 April lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan satu siri 'tarif timbal balik' terhadap import dari kira-kira 90 negara yang melebihi cukai menyeluruh sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas semua import ke Amerika Syarikat.

Langkah itu secara langsung menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington termasuk Malaysia yang dikenakan tarif 24 peratus.

Negara anggota wilayah Indo-China ASEAN antara yang paling terjejas akibat daripada tarif tersebut, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia (32 peratus), Brunei (24 peratus), Filipina (17 peratus) dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.

Ahad lepas, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini meskipun pelaksanaan tarif oleh AS memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.

Anwar turut menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan