AM > BERITA

SK Bidor 2 Lokasi Pertama Kempen Internet Selamat MCMC

10/04/2025 03:57 PM

TAPAH, 10 April (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Bidor 2 di sini, menjadi lokasi pertama bagi pelaksanaan Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) yang dilancarkan hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi berkata kempen itu memfokus kepada murid sekolah yang berisiko dan berpotensi dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Jika selama ini program seumpamanya banyak menumpukan kepada pelajar sekolah menengah, kali ini kita turut menyasarkan pelajar sekolah berumur bawah 13 tahun.

“Ini kerana kita lihat budaya penipuan, buli dan sebagainya semakin menjadi-jadi. Melalui kempen ini, kita mahu mendidik, membina kesedaran supaya mereka tidak terdedah kepada risiko bahaya siber,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu hari ini. 

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Pengarah Jabatan Penerangan Perak Yosri Abu Mahsin dan Pengarah MCMC negeri Mohd Irwan Mohamed.

Jelajah kempen keselamatan dalam talian yang diselaraskan Kementerian Komunikasi itu akan diperluas ke semua sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia sehingga penghujung tahun ini.

Antara modul diketengahkan ialah had umur penggunaan media sosial, larangan kanak-kanak di bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial, risiko buli siber, eksploitasi seksual, ucapan kebencian dan peranan ibu bapa dalam melindungi anak.

Sementara itu Mohd Azlan berkata laporan penuh masalah capaian internet di beberapa kawasan termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan dibentangkan pada persidangan DUN Perak dari 15 hingga 22 April ini.

Beliau berkata semua data terkini berhubung permasalahan itu diperoleh menerusi tinjauan serta lawatan MCMC di lokasi berkaitan, dengan pihak terlibat juga sedang menyiapkan laporan terkini perkara itu.  

Selain itu Mohd Azlan berkata Jawatankuasa Telekomunikasi Negeri juga akan memantau isu capaian internet dan menyelaras pelaksanaan projek naik taraf liputan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan