AM > BERITA

Lima Warga Pakistan Terima Penghargaan Selepas Selamatkan Mangsa Kebakaran Paip Gas

10/04/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Tindakan berani lima warga Pakistan meredah sungai demi membantu penduduk yang terkesan dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, bukan sahaja tular di media sosial malah mendapat penghargaan rasmi daripada Kedutaan Pakistan di Malaysia.

Kelima-lima mereka Khaista Nawab, 50, Bakht Munir, 37, Amir Nawab, 47, Rafiq Ullah, 25 dan Jaafar Ali, 40, telah dipanggil untuk menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh wakil Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia di kedutaan negara itu, semalam.

Khaistan berkata dia dan rakan-rakannya langsung tidak menyangka bantuan spontan yang diberikan akan menerima pujian serta diberi pengiktirafan kerana melakukannya secara ikhlas bagi membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Kami bantu kerana itu yang patut dilakukan sebagai manusia, bukan untuk habuan. Bila lihat penduduk di seberang sungai panik, kami tahu kami perlu lakukan sesuatu,” katanya di sini hari ini.

Dia berkata kesemua mereka yang berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan itu telah berada di Malaysia antara tujuh hingga 20 tahun bagi mencari rezeki. 

Mengimbau kejadian itu, Khaista berkata dia dan rakan-rakannya bertindak terjun dari tebing sungai Klang di Kampung Sri Aman, Puchong bagi membantu kira-kira 30 penduduk yang ketika itu berada seberang tebing sungai di Kampung Tengah menyelamatkan diri daripada haba panas akibat kebakaran tersebut. 

Dia berkata mereka membawa penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas menyeberangi sungai selebar lebih 40 meter dan dalam lebih 1.8 meter itu kembali ke tebing di Kampung Sri Aman dengan cara memikul mereka di bahu pada bahagian sungai yang sedikit cetek dan menolak mereka sambil berenang di bahagian yang dalam.

Khaista berkata pada hari kejadian, kelima-lima mereka sedang berada di rumah masing-masing yang berdekatan dengan sungai kerana masih bercuti sempena Aidilfitri dan perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila melihat api yang marak dalam jarak kira-kira satu kilometer dari rumahnya ialah mengambil pasport dan melarikan diri.

“Tapi kemudian saya fikir, tidak boleh lari kerana nanti pada hari kiamat akan ditanya juga. Harus bantu orang walau nyawa sendiri dalam bahaya. 

“Jadi, kami berenang ke seberang dan kembali ke tebing di Kampung Sri Aman lebih lima kali bagi menyelamatkan semua penduduk,” katanya.

Kisah keberanian mereka bukan saja tular di Malaysia, malah menarik perhatian rakyat senegara di Malaysia iaitu pemilik syarikat pakaian Alfaro Sdn Bhd, Farooq Ahmed yang bertindak memberikan sagu hati berupa pakaian dan wang tunai.

Farooq berkata Menteri Persekutuan Pakistan Amir Muqam yang juga rakannya turut menghubunginya bagi menyampaikan rasa bangga dan penghargaan kerajaan Pakistan terhadap tindakan lima individu itu.

“Saya tertarik untuk memberi mereka sagu hati kerana keikhlasan membantu insan lain yang dalam kesusahan. Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mereka dalam menjalani kehidupan di negara ini.

“Mereka tular bukan saja di Malaysia malah di Pakistan hingga mendapat perhatian seorang menteri di sana,” katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi, 1 April itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan