KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan meningkatkan kualiti capaian internet di institusi pendidikan MARA di seluruh negara.
MCMC memaklumkan institusi terlibat ialah Maktab Rendah Sains MARA, institut kemahiran, kolej kemahiran tinggi, MARA-Japan Industrial Institute, Kolej Poly-Tech MARA, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej MARA, Universiti Kuala Lumpur, German-Malaysian Institute dan GIATMARA.
"Inisiatif ini bukan sahaja mempermudahkan pembelajaran para penuntut MARA dan membolehkan mereka memanfaatkan capaian internet untuk urusan seharian, bahkan juga sistem penyampaian awam di seluruh institusi MARA dijangka dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis pertukaran MoU berkenaan berlangsung di UPTM di sini hari ini, dan disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
MCMC berkata kerjasama itu merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang merupakan program kesedaran dengan modul baharu yang sesuai untuk warga kerja dan pelajar institut pengajian tinggi.
MCMC berkata kerjasama turut melibatkan penyediaan khidmat konsultasi bagi penambahbaikan liputan mudah alih dan jalur lebar berasaskan gentian optik serta eksplorasi teknologi di kawasan kurang liputan.
Selain itu ia juga merangkumi pembangunan usahawan melalui pembudayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan e-dagang, serta program peningkatan kompetensi dan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber bagi melahirkan bakat yang memenuhi keperluan industri digital.
Sebagai langkah permulaan dalam memastikan liputan Internet berkualiti tinggi, MCMC telah menjalankan pemeriksaan status liputan Internet di KPM Ayer Molek.
"Pada hujung tahun lepas di bawah satu pelan tindakan khas, pihak telco telah memasang stesen pangkalan mudah alih (portable base station) bagi liputan internet sementara manakala struktur menara yang tetap akan dibina untuk memberikan liputan yang menyeluruh di KPM Ayer Molek," katanya.
MCMC berkata MoU itu juga merangkumi pembangunan modal insan digital bertanggungjawab dan berdaya saing dalam kalangan warga MARA, termasuk menjadi pengguna digital yang celik siber, serta memiliki kemahiran dalam ICT, e-dagang, dan keselamatan siber bagi menyokong keperluan industri pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial