KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Cadangan peruntukan tambahan bagi memperluas kampus Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) akan dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata UPTM perlu dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran bertaraf dunia seperti Smart Classroom mempunyai panel kecerdasan interaktif, Internet berkelajuan tinggi dan kemudahan yang dapat menampung keperluan pembelajaran terkini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata program Bacelor Kecerdasan Buatan (AI) juga dijangka mula ditawarkan di universiti berkenaan pada akhir tahun ini dan peningkatan jumlah pelajar antara faktor memperluas kampus berkenaan.
“Insya-Allah, saya dan Datuk Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) dalam mesyuarat Kabinet minggu depan, kita akan ‘membisikkan’ kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk beri keutamaan kepada belanjawan tambahan bagi pendidikan, kampus lebih besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Amazing Syawal UPTM 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Fahmi, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu, Ahmad Zahid meminta Asyraf Wajdi untuk tidak berkompromi dan mengambil tindakan membuang pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan kemudahan Internet bagi tujuan tidak baik.
"Kita akan memastikan tiada elemen seksual dalam kalangan pengguna Internet di sini. Kalau ada, saya harap Pengerusi MARA terus buang pelajar terlibat," katanya.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan mahasiswa dan alumni UPTM supaya mendukung prinsip manusiawi yang memberi manfaat kepada insan lain serta berpegang teguh kepada nilai agama dan Rukun Negara.
Beliau berkata pihak pengurusan UPTM juga perlu meningkatkan pengambilan pelajar Maahad Tahfiz untuk mendalami bidang profesional di institusi itu.
"Saya difahamkan ada 17 yang berada di UPTM ini dan KPTM terdapat 30 orang. Itu pun tidak cukup kerana terdapat 125,000 pelajar di 1,199 Maahad Tahfiz berdaftar seluruh negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial