IPOH, 10 April (Bernama) -- Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kesan terhadap produk farmaseutikal sekiranya Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif baharu kepada sektor berkenaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dalam mesyuarat Kabinet semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan berkenaan tarif produk farmaseutikal dalam proses akhir sebelum dimuktamadkan AS.
“Mereka (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) sedang menantikan pengumuman (AS) tentang tarif farmaseutikal, apakah dikecualikan daripada kadar 24 peratus itu. Pastinya ia akan menjejaskan bekalan dan segalanya.
“Saya tidak mahu memanjangkan hal ini tetapi ringkasnya kita perlu membuat persediaan kerana isu import dan eksport ini pastinya akan menjejaskan semua negara yang terkait,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai dan Ramah Mesra Menteri Kesihatan bersama Warga Kerja Kesihatan Daerah Batang Padang di Hospital Tapah di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Kerajaan AS akan mengenakan tarif kepada produk farmaseutikal, sekali gus mengeluarkannya daripada senarai pengecualian sektor yang diumumkan Presiden Donald Trump pada Rabu minggu lepas.
Trump dilaporkan menjelaskan, tindakan itu perlu diambil susulan beberapa negara bertindak mengawal harga ubat-ubatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial