AM > BERITA

KPK Prihatin Usaha Tangani Konflik Gajah-Manusia Di Sabah

10/04/2025 08:02 PM

TAWAU, 10 April (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) amat prihatin terhadap usaha menangani konflik antara gajah dengan manusia dalam sektor perladangan terutamanya di negeri ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata kerajaan melalui KPK telah menubuhkan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bagi menguruskan konflik melibatkan gajah dan hidupan liar lain antaranya orang utan. 

"Yayasan itu diwujudkan antaranya untuk program konservasi misalnya projek hidupan liar MPOGCF di kawasan Sungai Pin, Kinabatangan dengan kerjasama Sawit Kinabalu Group," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata penemuan bangkai gajah pygmy Borneo dalam keadaan kepala dipenggal di ladang kelapa sawit di Ladang Bukit Tukok, Kalabakan di sini seperti dilaporkan media adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KepKas) dan Menterinya Datuk Seri Christina Liew sedang mengambil tindakan tegas mengenai isu ini dan KPK sedia bekerjasama.

Sabah merupakan habitat kepada gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis, dikategorikan sebagai Terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), disebabkan populasi yang kecil dan semakin berkurangan dengan dianggarkan hanya kira-kira 1,000 ekor di habitat semula jadi.

Sementara itu, Chan menasihatkan agar pekebun kecil sawit persendirian di negara ini memanfaatkan dana RM100 juta yang disediakan kerajaan untuk program TSPKS 2.0 pada tahun ini.

"Penyaluran dana dalam bentuk geran padanan kepada pekebun kecil persendirian akan diuruskan oleh pihak Agrobank, skim ini dijangka memanfaatkan 1,500 pekebun kecil sawit dengan sasaran penanaman semula sawit seluas 5,900 hektar,” katanya.

Beliau berkata maklumat permohonan skim boleh diperoleh di setiap cawangan pejabat tunas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang MPOB atau cawangan Agrobank.

“Setakat ini terdapat 95 permohonan diluluskan membabitkan keluasan 446.76 hektar tanaman sawit di Tawau,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pihaknya menggalakkan para pekebun kecil agar menyertai Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) bagi menikmati pelbagai manfaat yang ditawarkan.

"Terdapat 70 KPSM di seluruh negara dengan 28 daripadanya berada di Sabah, tujuan penubuhan KPSM ini adalah menyatukan pekebun kecil sawit untuk pelaksanaan amalan pertanian baik (GAP) bagi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan