AM > BERITA

TPM Fadillah Rasmi Forum Media Dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China Pertama

11/04/2025 11:01 AM

Oleh Lucia Terey John

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China pertama membuka tirainya hari ini, menghimpunkan pemain utama industri media dan pakar dari rantau Asia Tenggara serta China bagi memperkukuh kerjasama dan libat urus dalam landskap media yang semakin dinamik.

Kira-kira 200 delegasi dijangka menghadiri forum sehari itu yang dianjurkan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua, menandakan julung kalinya kedua-dua agensi bekerjasama menganjurkan program media antarabangsa sejak memperbaharui perjanjian dua hala pada Disember 2023.

Bertemakan “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China”, forum ini menyediakan platform unik bagi perbincangan mendalam mengenai pelbagai isu penting kepada ASEAN dan masyarakat dunia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual menyampaikan ucapan perasmian forum berkenaan.

Antara tetamu kehormat lain yang akan hadir dan menyampaikan ucapan termasuk Menteri Komunikasi  Datuk Fahmi Fadzil,  Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong dan Timbalan Pengarah Urusan China Communications Construction Company Limited, Chen Zhong.

Turut dijadualkan hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Program ini merangkumi dua sesi pleno yang akan membincangkan topik seperti “Menggalakkan Pertukaran Tamadun”, “Memanfaatkan Revolusi AI” dan “Merebut Peluang Luar Biasa”, selain sesi perbincangan panel mengenai “Kesalinghubungan ASEAN-China dan Pasaran Bersama”.

Forum ini turut dijangka membincangkan teknologi media baharu seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data dan automasi, selain keperluan meningkatkan ketelusan laporan media serta usaha memerangi penyebaran berita palsu di rantau ini.

Antara barisan penceramah yang mengambil bahagian termasuk Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Timbalan Pengarah Institut Xinhua Agensi Berita Xinhua Zhu Zhibin, Pengarah Eksekutif Kajian Perkongsian Indonesia-China Veronika S. Saraswati dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Berita Laos, Sivanxay Siphankham.

Forum ini juga diadakan bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024-2027, selain bersempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia minggu depan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan