JOHOR BAHRU, 11 April (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Johor terus menunjukkan penurunan dengan 210 mangsa daripada 65 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 290 mangsa daripada 96 keluarga, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa masih ditempatkan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading.
Beliau berkata kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Baharu Sri Gading, Kampung Parit Bengkok, Kampung Parit Kaspan, Kampung Parit Samion, Kampung Parit Haji Salleh Ros, Kampung Parit Sri Muar, Kampung Sri Pandan dan Kampung Parit Samijan.
“Amaran ribut petir dan hujan lebat dikeluarkan untuk tiga daerah pagi ini iaitu Tangkak, Muar dan Batu Pahat.
“Johor Bahru, Pontian dan Segamat pula dilaporkan hujan, sementara Kulai, Mersing dan Kluang berkeadaan mendung. Kota Tinggi pula dilaporkan cerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata dua sungai turut dilaporkan berada pada paras waspada iaitu Sungai Senggarang di daerah Batu Pahat dengan bacaan 3.05 meter dan Sungai Batu Pahat pada paras bacaan 2.30 meter, serta lain-lain sungai di negeri ini menunjukkan paras normal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial