KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- McDonald’s Malaysia menganjurkan Rumah Terbuka ‘Raya Mekdi’ di lima lokasi terpilih seluruh negara bermula dengan cawangan Pantai Sentral Park hari ini, sebagai usaha menyemarakkan sambutan Aidilfitri bersama komuniti dan pelanggan setianya.
Program yang julung kali diadakan itu menyaksikan 1,500 hidangan percuma diagihkan kepada pengunjung di setiap lokasi sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan rakyat Malaysia kepada jenama itu.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai berkata empat cawangan McDonald’s yang turut terpilih ialah di Bandar Sri Damansara (12 April), Indera Mahkota, Pahang (18 April), Bandar Baru Uda, Johor (19 April) dan Tabuan Jaya, Sarawak (26 April).
“Tujuan utama kami adalah untuk menyambut dan merayakan Hari Raya bersama komuniti dan pelanggan, sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka selama ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata penganjuran rumah terbuka merupakan antara inisiatif syarikat dalam mencipta detik istimewa dan kenangan manis bersama masyarakat setempat sempena sambutan Aidilfitri.
Menurut Melati, usaha menyantuni masyarakat adalah sebahagian daripada nilai teras McDonald’s Malaysia yang melaksanakan lebih 10,000 program komuniti setiap tahun di seluruh negara.
“Sepanjang Ramadan baru-baru ini, kami menganjurkan program Kongsi Rezeki Ramadan dengan menyediakan juadah berbuka dan moreh serta menyumbangkan Kotak Rezeki kepada golongan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata sambutan Aidilfitri pula disusuli dengan pelbagai kempen termasuk promosi makanan dan minuman percuma pada dua hari pertama perayaan serta tawaran istimewa menerusi aplikasi McD.
Selain itu, sebanyak 26 restoran McDonald’s dihias dengan tema perayaan bagi membangkitkan suasana meriah untuk pelanggan yang berkunjung bersama keluarga dan sahabat handai.
“Kami mahu semua yang hadir merasai kegembiraan, dan pada masa sama, mengukuhkan lagi hubungan antara McDonald’s Malaysia dan komuniti. Kami bukan sekadar sebuah restoran, kami adalah sebahagian daripada masyarakat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial