AM > BERITA

Azalina Bertemu Menteri Keadilan Vietnam, Perkukuh Kerjasama Undang-undang

11/04/2025 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengadakan pertemuan dengan Menteri Keadilan Vietnam Nguyen Hai Ninh di Hanoi semalam, dalam usaha memperkukuh kerjasama undang-undang antara kedua-dua negara.

Azalina berkata pada pertemuan itu, perbincangan mereka tertumpu kepada usaha untuk ASEAN secara kolektif memperkukuh dan meletakkan rantau ini sebagai hab penyelesaian pertikaian yang berkesan dan boleh dipercayai.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai cadangan Pernyataan Bersama oleh Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN serta membincangkan strategi berkesan dalam pembangunan timbang tara dan pengantaraan komersial antarabangsa.

“Selain itu, turut disentuh ialah kerjasama undang-undang lain yang berpotensi seperti reformasi undang-undang perniagaan, keselamatan dalam talian dan undang-undang antirasuah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengambil kesempatan menjemput Nguyen secara rasmi bagi menghadiri Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Ogos ini.

Beliau berkata forum berkenaan merupakan platform terbaik untuk mengesahkan komitmen ASEAN terhadap kerjasama dalam aspek perundangan dan integrasi ekonomi menerusi institusi perundangan yang kukuh dan berdaya tahan.

“Saya amat terharu dengan komitmen positif beliau untuk hadir,” katanya.

Pertemuan itu adalah sebahagian daripada siri lawatan Azalina ke negara anggota ASEAN selepas Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan