KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri dua Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 yang berlangsung di dua negeri berasingan hari ini, iaitu di Pantai Irama, Bachok, Kelantan dan Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, Pulau Pinang.
Lawatan kerja Perdana Menteri dimulakan di Kelantan dengan menghadiri pertemuan tertutup bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu pada 9 pagi, sebelum menghadiri majlis sambutan Aidilfitri bertemakan "Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara."
Majlis yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat itu bertujuan menyemarakkan semangat silaturahim dan memupuk perpaduan nasional tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Antara pengisian majlis termasuk persembahan kebudayaan, hidangan tradisional dan sesi ramah mesra bersama Perdana Menteri, yang menzahirkan pendekatan inklusif Kerajaan MADANI dalam menyantuni rakyat sempena Syawal.
Sejurus selesai majlis di Kelantan, Anwar dijadual meneruskan program ke Pulau Pinang untuk menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth yang bermula pada 2.30 petang.
Majlis anjuran bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Sumber Manusia itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Sebelum menghadiri sambutan tersebut, Perdana Menteri yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dijadual menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah di Permatang Pauh pada 2 petang.
Majlis sambutan Aidilfitri di Pulau Pinang turut menawarkan pelbagai juadah istimewa seperti kambing golek, laksa Penang, mi kari, nasi himpit dan kuah kacang, lemang, ketupat, sate, roti jala, mi sotong, cendol, pasembor dan apam balik, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian budaya kulinari tempatan.
Menurut Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri penganjuran majlis sambutan Aidilfitri MADANI bukan sekadar acara perayaan, malah menjadi medium merapatkan hubungan antara rakyat dan pemimpin melalui nilai budaya, tradisi dan kemasyarakatan.
Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 dimulakan di Melaka pada 5 April lalu sebagai sambutan peringkat kebangsaan, sebelum diteruskan ke Pahang semalam dan hari ini di Kelantan serta Pulau Pinang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial