AM > BERITA

Kelantan Yakin Cadangan Projek Pembangunan Akan Dipertimbang Kerajaan Persekutuan - MB

12/04/2025 02:11 PM

BACHOK, 12 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan yakin bahawa semua cadangan projek pembangunan yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata cadangan tersebut telah dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan yang diadakan di Kota Darulnaim, hari ini.

"Alhamdulillah, beberapa cadangan projek yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri telah pun dikemukakan kepada Perdana Menteri.

"Insya-Allah, saya cukup optimis bahawa atas semangat federalisme yang tinggi, cadangan-cadangan tersebut akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat Kelantan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama Perdana Menteri peringkat negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Mohd Nassuruddin turut menyatakan harapan agar hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang dijunjung atas prinsip federalisme dapat terus direalisasikan bersama.

"Kerajaan Negeri dan Persekutuan bukanlah untuk bersaing antara satu sama lain, tetapi perlu bergerak seiring dalam menjayakan agenda rakyat.

"Kami di Kelantan bergerak dengan pelan strategik Penghayatan Membangun Bersama Islam dan sentiasa komited untuk memelihara perpaduan serta keharmonian rakyat, agar hubungan yang matang dan sejahtera bersama Kerajaan Persekutuan dapat terus diperkukuh demi manfaat bersama," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keamanan dan keharmonian yang telah dibina dalam negara perlu terus dipelihara.

"Jatuh bangun masa depan Islam adalah tanggungjawab bersama untuk digalas, agar segala tuntutan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri serta delegasi yang hadir ke Kelantan dan atas penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI dalam usaha menyantuni rakyat di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan