AM > BERITA

Kebakaran Saluran Gas: 179 Saksi Dirakam Keterangan, 769 Laporan Polis Diterima

12/04/2025 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Sebanyak 179 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan insiden kebakaran saluran gas Putra Heights, Subang Jaya setakat ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 138 ialah mangsa insiden, diikuti pemaju dan kontraktor (10), Petronas (4), polis (8), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) (2) dan lain-lain (14).

“Turut dirakam keterangan ialah seorang daripada Kementerian Kesihatan dan seorang Profesor Madya bidang kejuruteraan dan binaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Hussein berkata setakat 6 petang semalam, sebanyak 769 laporan polis diterima yang kebanyakannya melibatkan kerosakan rumah dan kenderaan serta kecederaan yang mereka alami akibat insiden itu.

“Setakat hari ini, hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Masjid Putra Heights yang masih beroperasi,” katanya.

Hussein berkata Op Gas Putra Heights 2025 yang masuk hari ke-12 hari ini melibatkan 539 individu daripada 13 agensi dengan kekuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sebanyak 125 orang yang ditugaskan membuat kawalan keselamatan 24 jam di kawasan terjejas.

Katanya, sebanyak 11 agensi seperti Petronas, Koridor Utiliti Selangor, Air Selangor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, MBSJ, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad, agensi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Tenaga Nasional Berhad sedang giat menjalankan kerja-kerja siasatan bersama PDRM.

“Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM juga meneruskan tinjauan udara waktu malam di lokasi Ground Zero bagi membantu Pusat Kawalan Tempat Kejadian memantau kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan bencana dengan rakaman visual dan gambar melibatkan 500 meter radius,” katanya.

Hussein juga berkata beliau telah berkesempatan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada empat anggota PDRM yang tinggal di kawasan Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas akibat insiden itu, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan