AM > BERITA

Agong, Raja Permaisuri Beri Sokongan Kepada Anakanda Dalam GT World Challenge Asia

12/04/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan sokongan padu kepada Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj, yang beraksi dalam perlumbaan pembuka tirai siri GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini.

Menurut hantaran menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda yang menonton perlumbaan itu dari Johor Bahru menzahirkan rasa gembira selain mendoakan kejayaan kedua-dua anakanda dan pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).

“Saya gembira dengan permulaan baik yang ditunjukkan menggunakan jentera baharu Corvette ini. Buat Tunku Putera, cuba lagi pada perlumbaan seterusnya. Saya yakin prestasi akan meningkat dan semoga lebih bernasib baik,” titah Sultan Ibrahim.

Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar masing-masing mewakili pasukan JMR memulakan kempen musim ini dengan pencapaian membanggakan apabila Tunku Abdul Rahman dan rakan sepasukannya Alexander Sims dari Britain merangkul tempat ketiga dalam kategori Pro-Am.

Kejayaan itu menyaksikan JMR meraih podium pertama mereka bagi musim ini.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Tunku Abu Bakar dan rakan sepasukannya Jordan Love apabila terlibat dalam kemalangan, menyebabkan kerosakan pada jentera dan ketinggalan sehingga akhir perlumbaan.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Sepang bagi menyaksikan perlumbaan berkenaan.

Raja Permaisuri Agong diiringi anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Tun Aminah serta suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Turut berangkat Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah.

Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan JMR.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peminat, terutamanya mereka yang sanggup datang dari Johor Bahru ke Sepang. Saya amat terharu dengan kesungguhan sokongan mereka. Semoga mereka akan selamat pulang ke Johor Bahru, insya-Allah,” titah Seri Paduka Baginda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan