KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Beberapa laluan sekitar Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup sepenuhnya atau dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pergerakan rasmi sempena lawatan negara oleh Presiden China Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari bermula Selasa ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata 17 laluan dikenal pasti akan mengalami penutupan sementara antara 30 hingga 45 minit bergantung kepada pergerakan delegasi.
Beliau berkata antara laluan yang akan ditutup pada 6 petang 15 April ini adalah Lebuh KLIA, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
Penutupan laluan pada 16 April (Rabu) bermula 9.30 pagi, melibatkan Jalan P5, Lebuh Gemilang, Persiaran Selatan, Lebuhraya Putrajaya-Dengkil, Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).
Turut terlibat Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Jalan Istana, Jalan Damansara serta Jalan Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Iskandar.
“Sesi penutupan kedua pada hari yang sama bermula 12.30 tengah hari akan membabitkan laluan yang sama untuk perjalanan pulang delegasi ke lokasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata pada 4.10 petang, 16 April penutupan dan lencongan membabitkan Jalan P5, Lebuh Gemilang, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Sentosa, Lebuh Perdana Barat dan Persiaran Seri Perdana, manakala pada 6.30 petang melibatkan penutupan laluan di Persiaran Seri Perdana, Lebuh Perdana Barat, Lebuh Sentosa, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
Selain itu, beliau berkata pada 8.50 pagi, 17 April (Khamis) delegasi akan meninggalkan Putrajaya melalui Jalan P5, Lebuh Gemilang, Persiaran Selatan, Lebuhraya Putrajaya-Dengkil, Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya ELITE dan Lebuh KLIA.
Mohd Yusri berkata JSPT turut mengatur 378 pegawai dan anggota polis untuk mengiringi rombongan, mengawal aliran trafik dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya sepanjang tempoh berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan merancang semula perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan jalan serta mematuhi arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran keseluruhan operasi.
“Terima kasih kepada semua pengguna jalan raya yang cakna dengan arahan semasa petugas di lapangan yang bersama-sama membantu sepanjang tindakan ini dijalankan dan kerjasama mereka amat dihargai,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial