Oleh N. Kuvineshwaren
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Masyarakat Tamil, Malayalee dan Sikh di seluruh negara bersiap sedia untuk menyambut perayaan tahun baharu masing-masing iaitu Chittirai Puthandu, Vishu dan Vaisakhi pada esok.
Menurut kenyataan Malaysian Hindu Sangam, Tahun Baharu Tamil yang juga dikenali sebagai ‘Visuvaavasu’ akan bermula pada 5.07 pagi.
Presidennya Thanga Ganesan berkata Tahun Baru Tamil jatuh dalam tahun bertuah 'Krothi' mengikut kalendar Hindu dan bermula pada hari ke-30 pada bulan Tamil Panguni (Ahad, 13 April).
"Detik bertuah untuk menyambut Tahun Baru Tamil itu dikenali sebagai Vishu Punniya Kaalam bermula 5.07 pagi hingga 1.07 petang pada 14 April," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Malayalee Seluruh Malaysia (AMMA) Dr Manohar Kurup berkata Vishu menandakan permulaan tahun dalam kalendar Malayalam serta melambangkan pembaharuan, kemakmuran dan pemeliharaan warisan budaya.
"Seisi keluarga akan bangun awal pagi untuk menyaksikan Vishukkani, diikuti dengan tradisi Vishukaineettam selain berkunjung ke kuil," katanya kepada Bernama.
Acara komuniti juga akan diadakan di seluruh negara, termasuk anjuran Persatuan Malayalee Selangor & Wilayah Persekutuan (SFTMA) di Bangsar.
Vishu tahun ini lebih bermakna kerana AMMA bakal menyambut ulang tahun ke-50 pada Ogos dan satu majlis makan tengah hari dirancang di Pusat Konvensyen IDCC di Shah Alam, dijangka dihadiri 2,000 tetamu.
Mengenai sambutan Vaisakhi oleh komuniti Sikh, Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia Paramjeet Singh Jai Singh berkata persiapan sedang giat dijalankan.
“Semua gurdwara sedang bersiap sedia untuk sambutan meriah dan pelbagai program seperti kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan dan aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan,” katanya.
Bagi penganut Sikh, Vaisakhi memperingati detik bersejarah - penubuhan Khalsa oleh Guru Gobind Singh Ji pada tahun 1699.
Sementara itu, masyarakat Thai menyambut Songkran iaitu Tahun Baru Thai pada hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial