AM > BERITA

Kecurian Air Di Penempatan Berjiran Punca UMS Alami Gangguan Bekalan

13/04/2025 09:08 PM

KOTA KINABALU, 13 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini memaklumkan terdapat gangguan bekalan air melibatkan beberapa unit dan blok kolej kediaman di kampus induk universiti berkenaan.

Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam kenyataan memaklumkan gangguan itu berikutan kadar kemasukan air ke Tangki R13 milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang terletak dalam kawasan universiti itu berada pada paras rendah iaitu purata sekitar paras satu daripada skala 10.

JANS mengenal pasti penggunaan air pada kapasiti yang banyak dan insiden kecurian air di lokaliti berjiran dengan kampus induk sebagai punca bekalan air yang melalui saluran paip ke Tangki R13 terjejas.

Tangki R13 bukan sahaja membekalkan air kepada UMS tetapi juga beberapa bangunan dan kawasan luar kampus seperti Bangunan Dewan Undangan Negeri, Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah, Pejabat Persekutuan Putrajaya Cawangan Sabah, kawasan Alam Mesra, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas serta kawasan perumahan sekitar.

“Pihak universiti sedang mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi memastikan kebajikan serta keperluan asas pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh gangguan bermula pukul 2.00 pagi hari ini. Tekanan air dari JANS ke Tangki R13 kembali pulih dan tiga juta liter air berjaya dipam ke tangki berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan ketika ini bekalan air ke seluruh kampus bertambah baik setelah usaha pemotongan penyambungan paip secara tidak sah di sekitar perkampungan setinggan berdekatan kampus dilakukan.

Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan UMS akan terus menyelaras penyaluran air berdasarkan kadar bekalan semasa serta memanfaatkan sumber alternatif seperti telaga tiub.

Oleh itu, pihak pengurusan universiti memohon agar seluruh warga kampus sentiasa peka dengan makluman semasa dan melaporkan sebarang isu berkaitan kepada pihak universiti, serta turut bekerjasama dengan JANS dan agensi berkaitan bagi mempercepat usaha pemulihan bekalan air secara menyeluruh.

Pihak universiti amat menghargai kesabaran dan kerjasama pelajar serta warga kampus dalam menghadapi situasi ini dan mereka disaran menggunakan air secara berhemah, menjaga kebersihan diri dan sentiasa mengikuti makluman rasmi yang disalurkan melalui aplikasi mudah alih UMS, laman media sosial rasmi universiti serta saluran komunikasi kolej masing-masing.

“Sebarang pertanyaan lanjut atau permohonan bantuan, pelajar boleh menghubungi Pejabat Kolej Kediaman di talian 088-320060,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan