AM > BERITA

Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak Mula Beroperasi Di Sibu Pertengahan Tahun Ini

14/04/2025 03:37 PM

SIBU, 14 April (Bernama) -- Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) dijangka mula beroperasi di Sibu menjelang pertengahan tahun ini, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata para pelajar dan guru YSISS yang kini masih ditempatkan di Kuching akan berpindah ke kampus baharu di Sibu sebaik sahaja persiapan selesai.

Sebelum ini, sekolah tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dan hanya memulakan operasi pada tahun hadapan.

“Kita sering melihat pembangunan dari segi fizikal, tetapi pada masa sama, kerajaan Sarawak juga komited melabur dalam sektor pendidikan sebagai asas penting bagi masa depan anak-anak Sarawak,” katanya.

Penubuhan YSISS bertujuan memberi peluang kepada pelajar cemerlang, khususnya dari kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, untuk mendapatkan pendidikan bertaraf antarabangsa.

YSISS Sibu merupakan sekolah antarabangsa ketiga di bawah Yayasan Sarawak, selepas dua kampus lain di Petra Jaya dan Jalan Kuching-Serian (Mile 12).

Kampus baharu di Betong, Bintulu dan Miri pula sedang dalam perancangan untuk pembukaan akan datang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan