ALOR GAJAH, 14 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Aichi Daihatsu Co Ltd dalam proses membangunkan Program Perantisan dan Penempatan Kerja di Jepun, di bawah sistem Specified Skilled Worker (SSW) yang diiktiraf oleh kerajaan Jepun.
Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA Dr Mahzan Teh berkata inisiatif di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA itu, bertujuan membangunkan kapasiti pelajar di KKTM khususnya Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif, untuk memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi di dalam dan luar negara.
“Menerusi program itu, pelajar tersebut akan menjalani latihan amali selama tiga tahun dan pelbagai kemudahan disediakan syarikat berkenaan untuk pelajar terbabit.
“Mereka yang berjaya memperolehi sijil SSW, bukan sahaja berpeluang mendapat peluang pekerjaan yang baik di dalam negara tetapi juga layak bekerja di Jepun, dengan tawaran gaji premium bergantung kepada bidang dan syarikat majikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Peralatan Pengajaran dan Pembelajaran Sumbangan Aichi Daihatsu Co Ltd, disempurnakan Pegawai Eksekutif Aichi Daihatsu Co Ltd Hiroshi Mizuno dan turut dihadiri Pengarah KKTM Masjid Tanah Shabudin Said.
Pada majlis itu Aichi Daihatsu Co Ltd turut menyerahkan sebuah Perodua Myvi yang boleh digunakan pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Bagaimanapun Mahzan berkata pelajar terbabit perlu menjalani sesi temu duga yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini, selain perlu mengikuti kursus Bahasa Jepun sebagai persediaan ke negara tersebut.
“Kita sasarkan antara 20 hingga 25 pelajar dalam bidang automotif akan dihantar ke Jepun setiap tahun, untuk meningkatkan kemahiran mereka khususnya dalam aspek teknologi yang boleh diadaptasi di negara ini dalam bidang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata menerusi kerjasama dengan Aichi Daihatsu Co Ltd juga, sebuah pusat latihan berorientasikan industri akan diwujudkan di KKTM Masjid Tanah termasuk teaching factory yang berasaskan bidang automotif.
Mahzan berkata kerjasama itu, merangkumi pelbagai bentuk antaranya pemindahan teknologi, latihan kepada pelajar dan tenaga pengajar serta pembangunan program khas yang selari dengan keperluan industri automotif semasa.
“Teaching factory berkenaan akan menjadi pusat rujukan latihan berteknologi tinggi dalam bidang automotif bukan sahaja kepada pelajar MARA, tetapi juga kepada institusi TVET lain di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET MARA termasuk KKTM mencecah lebih 97 peratus, sekali gus membuktikan keperluan tenaga mahir terus meningkat khususnya untuk pasaran pelbagai industri.
Mahzan berkata semua pelajar TVET MARA, diberi jaminan pekerjaan di bawah pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pemain industri tempatan dan antarabangsa, termasuk berpeluang bekerja di luar negara.
“Sambutan pelajar yang juga sangat menggalakkan yang kemasukan pelajar di setiap institusi kemahiran di bawah MARA termasuk KKTM melebihi 100 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial