AM > BERITA

Mangsa Kebakaran Di Putra Heights Terima Kunci Rumah Sementara Rabu Ini

14/04/2025 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berdaftar untuk mendapatkan bantuan rumah sementara di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang boleh mendapatkan kunci dan memasuki rumah sewa masing-masing pada Rabu ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata 100 unit Rumah Selangorku ditawarkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat. 

Beliau berkata selepas proses pendaftaran hari ini selesai, pihaknya akan melakukan semakan dengan pejabat daerah untuk memastikan hanya mangsa yang berdaftar menerima bantuan berkenaan. 

“Selepas daftar kita semak dulu dengan pejabat daerah kemudian kalau tidak ada masalah Rabu kita serah kunci dan mereka boleh masuk, terpulang kepada mereka (masuk bila).

“LPHS menyediakan 100 unit rumah di Kota Warisan yang berkeluasan 1,000 kaki persegi, di dalamnya ada tiga bilik dan dua bilik air. Ini rumah baharu yang lengkap dengan kipas dan lampu,” katanya semasa taklimat tawaran rumah sementara di Masjid Putra Heights hari ini.

Borhan berkata kadar sewa yang ditetapkan adalah RM850 sebulan berbanding kadar sebenar RM1,800 dan mekanisme pembayaran akan dibincangkan untuk semua mangsa terlibat, selain pengecualian deposit turut diberikan kepada mangsa yang berdaftar hari ini.

Beliau berkata selepas enam bulan, pertimbangan akan diberikan sekiranya mangsa belum memiliki rumah dan hendak memohon untuk terus menyewa di unit berkenaan.

Berdasarkan Skim SMART sewa, penghuni boleh ditawarkan untuk tinggal di rumah berkenaan selama tempoh lima tahun atau tiga tahun dan mereka layak menerima bayaran balik 30 peratus.

“Sekiranya terdapat mangsa yang ingin mendapatkan rumah sewa selain yang ditawarkan LPHS ini, pihak kerajaan akan cuba membantu,” katanya.

Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah Puchong ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan